Isu isu utama
1. Kebersihan kubur dipinggirkan.
Slogan ”Kebersihan separuh daripada iman” sering terpapar di merata-rata tempat namun sampah-sarap masih lagi bertabur dan tidak terurus diibaratkan seperti iman juga bertaburan. Di mana letaknya kesedaran masyarakat pada masa kini ? Menjaga kebersihan merupakan tanggungjawab bersama. Hakikatnya, masyarakat yang bertunjangkan materialistik dan mengejar duniawi semakin lupa akan kepentingan kebersihan ini. Terkedu sejenak apabila melihat persekitaran tanah perkuburan yang terdapat banyak sampah sarap seperti plastik, botol-botol dan banyak lagi lantas terdetik satu persoalan yang berlegar-legar di gawang minda ialah siapakah yang tergamak mengotorkan tempat seperti ini ? Di benak pemikiriran masyarakat adalah kebersihan kubur bukanlah terletak di bahu mereka malahan ianya adalah tanggungjawab ahli jawatankuasa masjid dan juga waris si mati. Oleh itu, sikap lepas tangan akan mula menjadi-menjadi sehingga mereka langsung tidak mengendahkan akan kepentingan kubur ini. Adakah apabila mereka kematian waris barulah mereka mahu menjaga kebersihan kubur ? Di mana letaknya kesedaran mereka terhadap isu ini ? Janganlah sudah terhantuk baru tengadah untuk membuat sesuatu kebajikan yang akan memanfaatkan semua pihak.
2. Pemikiran yang kolot.
Pandangan dan pemikiran yang kolot dalam sesetengah masyarakat amatlah memberikan impak negatif. Hal ini kerana terdapat sesetengah masyarakat mahupun generasi muda yang khuatir untuk membuat kebajikan seperti membersihkan kubur dek kerana takut akan gangguan mistik. Sehubungan dengan itu, terdapat banyak cerita-cerita mistik mengenai kejadian di tanah perkuburan yang menimbulkan rasa takut kepada sesetengah pihak. Dengan ini, secara langsungnya mereka tidak akan ada rasa tangungjawab untuk menjaga kebajikan kubur dan menganggap ianya tidak penting serta tidak mendatangkan faedah untuk mereka. Lantasnya, terdapat sesetengah pihak yang terlalu takut untuk mendekati tanah perkuburan apatah lagi untuk menjenguk keadaan persekitaran di sana dan tidak sama sekali mempunyai hasrat untuk membersihkannya. Istilah “hantu” dan “seram” sering terngiang-ngiang di pelosok minda mereka. Ianya tidak terhenti di situ kerana terdapat juga sesetengah individu yang menjadikan isu ini sebagai bahan gurauan untuk menakut-nakutkan generasi muda. Kita seharusnya mengajak dan menjadi tauladan untuk perkara baik untuk mereka bukannya menjerumuskan mereka ke lembah yang menyesatkan. Selain itu, isu individu non-muslim masuk ke dalam kawasan tanah perkuburan Islam turut menjadi bualan. Sesetengah masyarakat berpendapat bahawa non-muslim tidak dibenarkan untuk menjejakkan kaki tanah perkuburan Islam. Namun, menurut fatwa dalam laman as-Syabakah al-Islamiah : “ Tidak ada tegahan ke atas orang bukan Islam untuk menziarahi perkuburan orang Islam”.Sesungguhnya, pemikiran ini haruslah diubah dan janganlah terlalu focus kepada perkara negatif. Janganlah berfikiran kolot sebaliknya jadilah insan yang berfikiran kritis.
Sekitar kawasan perkuburan yang dipenuhi sampah sampah tanpa dibersihkan dan dipedulikan oleh sesetengah masyarakat.
3. Keselamatan yang tidak terjamin.
Kami menjalankan projek ini di Tanah Perkuburan Islam Mukim Panchor ( Kubur Langgar ) yang berhampiran dengan fakulti kami. Semasa di sana, terdapat bangunan yang dalam proses pembinaan bersebelahan dengan tanah perkuburan ini. Oleh itu, isu keselamatan turut menjadi masalah untuk membersihkan kawasan tersebut. Hal ini akan menyebabkan masyarakat tidak akan tertarik untuk menjalankan kebajikan di perkuburan ini kerana ianya agak berisiko. Dalam keasyikkan untuk membuat kebajikan, jangan sesekali alpa tentang keselamatan diri dan seharusnya perkara yang membahayaka diri perlu dielakkan. Isu keselamatan ini turut membataskan masyarakat untuk ke kawasan tersebut. Sebagai langkah mudah, masyarakat mahupun generasi muda tidak akan ke kawasan tanah perkuburan ini dan seterusnya kebajikan kubur akan terabai.
Comments
Post a Comment